Follow Us @syahbinar

Friday, 3 February 2017

Laksa Lemak Thai

Seperti yang kita tahu laksa ini terdiri daripada pelbagai variasi kan, ada jenis Laksa Penang, Laksa Johor, Laksa Kelantan, dan tidak ketinggalan juga laksam. Yang banyak membezakan laksa ini adalah dari segi kuahnya. Disini aku nak berkongsi resepi laksa lemak Thai, ia boleh juga didapati di negeri sekitar Perlis, Kedah. Bagi penggemar laksa, mereka haruslah tidak ketinggalan untuk mencuba kesemua jenis laksa ini. 

Bahan-bahan:
  • Laksa jenis halus - rendam sekejap, kemudian rebus dan toskan
  • Sekilo ikan (Kembung/Selayang) - rebus bersama asam keping dan garam, ambil isinya, tumbuk/kisar halus. Air rebusan tu simpan bersama asam keping nya sekali. Tulang dan kepala ikan pula dikisar halus kemudian dicampur air dan ditapis. Simpan air tapisan tulang.
  • 1 biji kelapa diperah santan - Kalau nak kuah lebih berlemak boleh tambah lagi kelapa
  • 2-3 asam keping
  • 5-6 daun limau purut
Bahan kisar:
  • 4-5 ulas bawang besar
  • 5-6 cili padi - ikut rasa pedas
  • 2 inci kunyit hidup
  • 2 inci lengkuas
  • 1 inci halia
  • 2 batang serai
  • Sedikit lada hitam (optional) - kalau nak tambahkan lagi rasa pedas
Bahan ulam:
  • Kacang panjang dipotong
  • Timun dihiris
  • Kobis dihiris
  • Taugeh (optional)
  • Betik/mempelam dihiris (optional)
Cara-cara:
  1. Panaskan minyak, tumis bahan yang dikisar tadi, sehingga naik bau.
  2. Masukkan separuh santan cair.
  3. Kemudian, masukkan air rebusan ikan bersama dengan isi ikan yang dikisar. Boleh tambahkan sedikit air.
  4. Masukkan asam keping dan daun limau purut. Biarkan kuah mendidih.
  5. Akhir sekali, masukkan santan pekat. Perasakan dengan gula dan garam.
  6. Kacau kuah, masak sehingga mendidih, jangan sampai pecah minyak pulak.