Follow Us @syahbinar

Wednesday, 9 August 2017

Mango Icebox Cheesecake

08:41 0 Comments
Baru-baru ni terjumpa buah mangga yang agak murah, lalu ingin dicuba untuk buat cheesecake. Hahah tapi kurang kemas sikit laa, kalau sesiap nak buat untuk jual bolehlah gunakan buah yang elok dan mahal sikit. Heheh. Jom follow resepi ni

Bahan-bahan:

- Biskut marrie/digestive
- Sedikit mentega
- 3 biji mangga (bergantung pada saiz)
- Cream cheese
- Whipping cream
- Yogurt (optional)
- Gelatin
- Gula halus
- Air panas
- Serbuk agar-agar

Cara-cara:
  1. Hancurkan biskut,  dan cairkan mentega. Satukan kedua-dua bahan ni sekali. Masukkan ke dalam loyang dan mampatkan. Pastikan menggunakan loyang yang boleh dibuka bahagian tepi. Sejukkan di dalam peti sejuk.
  2. Potong dadu buah mangga, ketepikan. Putar cream cheese bersama 4sdb gula, kemudian putarkan whipping cream sehingga kembang. Masukkan sedikit yogurt, dan kacau sebati.
  3. Larutkan 2sdb gelatin dengan air panas (atau double boil), dan masukkan ke dalam adunan tadi. 
  4. Masukkan buah mangga yang dipotong tadi ke dalam adunan cream cheese + whipping cream. Kacau.
  5. Masukkan pula bahan tersebut ke dalam loyang yang telah dilapisi dengan biskut tadi. Sejukkan sehingga 3 jam.
  6. Potong setengah buah mangga untuk dijadikan puri/glaze. Kemudian kisarkan bersama sedikit air dan 2sdb gula.
  7. Masukkan 1sdb gelatin yang telah dilarutkan. Kacau kesemua.
  8. Tuangkan ke atas lapisan tadi. Sejukkan di dalam peti ais.
  9. Hiris nipis buah mangga dan susun di atas kek bermula daripada tengah mengikut kreativiti. Didihkan 1sdt serbuk agar-agar bersama setengah cawan air dan 1sdb gula. Kemudian tuang ke atas susunan buah mangga tadi.
  10. Jika hendak potong dadu dan tabur di atas pun boleh juga. 
  11. Sejukkan lagi ke dalam peti sejuk. Setelah itu sedia dimakan.

Nak buat macam bentuk rose tu, tapi tak menjadi sangat. Hahah. Buah pun agak lembik

Susah gak nak potong elok-elok ni hahaha


Tuesday, 8 August 2017

Jahit Tepi Menggunakan Mesin Portable

14:18 0 Comments
Hai. Bagi sesiapa yang beginner dalam jahitan atau hanya tahu basic untuk menjahit sahaja, bukanlah sebagai tukang jahit profesional yang mengambil upah menjahit. Sekiranya anda mempunyai mesin jahit portable, anda boleh menggunakan mesin jahit tersebut untuk jahit ditepi kain. Mudah kan, tidak perlu keluar ke kedai untuk pergi jahit tepi. Sememangnya mesin untuk jahit tepi adalah agak mahal harganya. 

Kenapa perlu jahit ditepi kain? Hal ini untuk memastikan apabila kain yang telah dipotong tidak berbulu, dan menjadi kemas. Hasil jahitan tepi menggunakan mesin jahit portable ini tidaklah sekemas mesin jahit tepi, tetapi bolehlah dimanfaatkan.

First sekali, mesin jahit portable itu mestilah mempunyai jahitan zigzag (nak lagi kemas jahitan zigzag atas/bawah) dan yang penting sekali menggunakan tapak mesin jenis overlock. Bagi yang takde, boleh dibeli ya. 

Ini aku share salah satu penjual tapak mesin jahit secara online: Tapak Mesin Jahit

Ini adalah contohnya, kain jenis cotton lebih mudah

Untuk lebih faham jelas lagi, boleh lihat video dibawah ini atau boleh search sendiri di youtube.



Monday, 7 August 2017

Keajaiban Dhuha

11:38 0 Comments
Assalamualaikum.


Dah lama tak post yang berilmiah sikit hoho. Kali ni aku nak berkongsi tentang keajaiban melakukan solat sunat Dhuha. Selain menunaikan solat fardhu lima waktu sehari, apakata kita cuba selitkan sedikit solat sunat dalam kehidupan seharian kita. Ditambah pula dengan amalan sedekah yang dilakukan oleh kita. InsyaAllah, moga perjalanan hidup kita semua dipermudahkan dan diberkati oleh Allah. Solat Dhuha seringkali dikaitkan dengan rezeki. Namun sebagai hamba-Nya, kita beribadah adalah sebagai tanda kehambaan, cinta, dan pengharapan kepada-Nya. Untuk rezeki pula, usaha kita perlulah seiring dengan doa dan ibadah kepada-Nya. 

Boleh rujuk panduan Solat Dhuha lengkap disini:  Cara Solat Sunat Dhuha dan Doanya                                                    
Macam mana pula kalau tak sempat buat Solat Dhuha?
Jangan risau, korang boleh je baca Doa Dhuha ataupun dengar yang versi nasyid daripada kumpulan UNIC lebih sedap dan mudah untuk follow.

Sebenarnya, aku masih lagi baru mengamalkan solat ini dan aku dapat lihat beberapa perubahan dalam kehidupan aku sepanjang melakukan solat sunat dhuha ini. Alhamdulillah. Syukurr.
Ada perkara-perkara di sekeliling aku yang dipermudahkan, begitu juga dengan rezeki yang datang, dan apa yang diinginkan juga kesampaian. 
Rezeki Allah itu luas, kadangkala DIA tak salurkan terus kepada kita, tetapi melalui orang di sekeliling kita (keluarga) dengan dipermudahkan urusan mereka.
Maka nikmat Tuhan mana yang kamu dustakan?

Aku sedang merancang sesuatu untuk hidup aku dan masa depan, doakan semoga semuanya dipermudahkan ya.

Boleh juba baca confession ini (Ajaibnya Solat Dhuha)


Sunday, 6 August 2017

Mencari Siput di Datai

10:49 0 Comments
Semalam aku berkesempatan untuk pergi mencari siput di Datai. Datai ni terletak di penghujung Langkawi, kiranya memang jarang la orang nak datang atau lalu lalang disini, sebab jauh nun disana. Tapi tempat ni memang biasa menjadi port untuk memancing dan mencari siput, mungkin disebabkan ketiadaan orang di sekitar sini. Orang yang nak datang ke sini pun agak jauh. Tempat ni cantik juga, tapi sayang aku tak banyak sangat mengambil gambarnya. Alahaii. Huhuhu

Sebenarnya aktiviti mencari siput ni pernah aku lakukan sewaktu kecil dahulu di pantai berdekatan dengan rumah aku juga. Sekarang ni kawasan pantai tu dah dibangunkan, mungkin siput pun dah pupus, hahaha. Hampir berbelas tahun jugak la aku tak pernah mencari siput ini. Apabila sampai ke sini, agak kekok jugak aku sebab pada dahulunya aku mencari siput ni, hanya korek-korek pasir je. Ni kena korek-korek di celahan batu pulak, dekat setengah jam juga aku dok menguis pasir tak jumpa siput. Hahaha. Bila dah jumpa tu rasa macam seronok pulak. Hihi. Tapi bila kena duduk lama tu rasa lenguh pulak badan-badan ni.

Oh yaa, masa aku sampai ni lebih kurang pukul 4 petang dan cuaca yang agak panas. Huhuhu. Tapi memang ada orang yang dah sampai lagi awal tengah mencari siput jugak. Fuhhh. Siap bertopi, berpayung bagai. Ada juga yang datang untuk bermandi manda siap berkelah lagi. 
Untuk datang mencari siput ni bukan terus datang je ye, kena tengok pasang surut air laut. Jadi kena la datang waktu air surut, kalau dak nak korek cari siput macam mana dalam air tu? Sebab tak nampak.

 Sini pantainya batu-batu jenis ni, memang agak sukar jugak la nak berjalan, sebelah ni ada padang golf

Kita akan mencari siput di celahan batu tu ye dan korek-korek pasirnya. Di celahan batu ni pula ada anak ketam, udang. Haaa yang siput lekat di batu tu namanya siput mata lembu, boleh dimakan jugak.

Nampak tak kegigihan I mencari siput tu walaupun berpanas. Skill tu yang penting. Kahkah. Barulah dikatakan anak pulau ye dak?

Inilah hasil kutipannya, setelah hampir dua jam aku berada di situ. Kepada yang taktau, siput ni hidup di persisiran pantai (dalam pasir), sama juga seperti siput lala. Setelah kita mengutipnya, haruslah dibersihkan pasir yang melekat dengan air masin dan diisi bekas tu dengan air masin juga untuk dibawa pulang. Hal ini bagi memastikannya tidak cepat mati dan membolehkan siput mengeluarkan pasir sendiri yang terdapat di dalamnya. 

Rupanya setelah dimasak cili/pedas. Apa nama siput ni aku pun taktau haha. Nak macam siput remis.
Resepinya mudah je, tumis bawang dan serai, masukkan cili kisar, sos cili, dan sos tiram, perasakan dengan gula, boleh juga tambahkan daun limau purut dan sedikit air. Tak perlu tambahkan garam pun takpe, sebab dah masin air laut. Kemudian masukkan siput ni. Jangan kacau lagi, biar sehingga dia terbukak sendiri barulah dikacau.

Sunday, 9 July 2017

Daging Masak Merah

12:28 0 Comments
Lama tak update resepi. Jadi terimalah masakan ini.

Bahan-bahan:
  • Daging lembu hiris kasar
  • 2 ulas bawang putih diketuk
  • 1 labu bawang besar dihiris
  • 1 sdb cili kisar
  • 2 sdb sos tiram
  • 1 sdb sos ikan
  • 1/4 cawan sos tomato
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 batang lobak merah dihiris (Sayuran lain pun boleh)
  • Cili dipotong
  • Daun sup
Cara-cara:
  1. Rebus daging bersama pewarna merah dan air rebusan berwarna merah boleh disimpan sedikit. Kemudian, hiris daging nipis.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali, gorengkan daging biar sedikit garing. Ketepikan.
  3. Tumiskan bawang putih tadi sehingga naik bau, masukkan cili kisar. Kacau sehingga cili agak garing, seterusnya masukkan sos tiram, sos ikan, sos tomato. Kacau kesemuanya. 
  4. Masukkan lobak merah, daging, cili yang dihiris, dan bawang besar. Perasakan dengan gula dan garam.
  5.  Kacau, dan biar sehingga masak.
  6. Hiaskan dengan daun sup, dan sedia dihidangkan.



Tuesday, 4 July 2017

Buah Hati Baru

22:19 0 Comments
Assalamualaikum.

Memperkenalkan........

Buah hati baru akuu.......

Brother AS2730S

Tercapai juga untuk memiliki mesin jahit pink ni walapun sebenarnya nakkan mesin jahit Hello Kitty. Mesin jahit ni menggantikan mesin jahit mini lama aku dulu. Apa-apa pun, semoga ini menjadi pemangkin semangat untuk aku terus menjahit. Hahaha. Doakan ya. Walaupun kadangkala rasa malas itu hadir. Kerana aku masih lagi dalam proses belajar dalam dunia jahitan ini. Terima kasih sangat buat keluarga yang sudi belikan mesin jahit ni untuk aku. 
Target lepas ni mungkin untuk memiliki mesin jahit tepi pulak kot. Hehehe. 

Saturday, 1 July 2017

Juadah di Hari Raya Aidilfitri 2017

14:39 0 Comments
Salam Syawal. Masih belum terlambat lagi untuk kita meraikannya. Jadi apa menu juadah korang di hari lebaran yang lalu, selain ketupat dan rendang? Ini di antara masakan hari raya yang aku masak.

 Mee Kuah
 Cara Penyediaan:

  1. Tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau, masukkan cili kisar. Kacau dan biarkan sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan sos cili, sos tiram, sedikit kicap, gula dan garam kacau kesemua.
  3. Masukkan daging kemudian air. Kacau.
  4. Masukkan batang sawi, lobak merah, fish cake, fish ball, dan udang.
  5. Setelah agak mendidih, masukkan pula daun sawi, tomato. Lalu pecahkan 3 biji telur.
  6. Kacau dan rasakan, sedia untuk dihidangkan bersama mee.

Soto
Cara Penyediaan:

  1. Kisarkan bawang besar, bawang putih, halia, dan kunyit. 
  2. Panaskan minyak, masukkan empat sekawan yang terdapat dalam sup bunjut tulang Adabi. Goreng sehingga naik bau.
  3. Masukkan serai yang telah diketuk, dan bahan kisar tadi. Tumis sehingga naik minyak.
  4. Kecilkan sedikit api agar tidak hangit, kemudian masukkan rempah kurma dan sup. Kacau dan biar seketika.
  5. Masukkan ayam yang telah dipotong kepada beberapa bahagian. Gaul rata.
  6. Setelah ayam agak kecut, masukkan bunjut tadi dan sedikit air.
  7. Tambahkan lagi air mengikut citarasa, dan masukkan beberapa ketul kiub pati ayam.
  8. Setelah ayam dah masak, boleh keluarkan dan boleh dicarik-carikkan isi ayam tersebut.
  9. Tambahkan lagi air dan perasakan dengan gula dan garam. 
  10. Kacau sebati dan sehingga mendidih. Tutup api.
  11. Untuk sambal kicap pula, panaskan minyak. Masukkan cili padi dan bawang putih yang telah dipotong, gorengkannya.
  12. Kemudian, kisarkan bersama kicap manis dan sedikit air perahan limau nipis.
  13. Bagi membuat begedil, gorengkan ubi kentang yang telah dipotong kecil.
  14. Tumbuk ubi kentang yang telah digoreng tadi dan juga isi ayam.
  15. Gaulkan kesemua bahan tersebut bersama sedikit lada hitam, garam, dan daun sup.
  16. Bentukkan begedil tersebut. Ratakan ke dalam telur yang telah dikacau dahulu sebelum digoreng.
  17. Sedia dihidangkan bersama bawang goreng, kacang tanah, daun sup, dan tauge.

Friday, 23 June 2017

Resepi Kuih Muih dan Puding Ramadan

12:07 0 Comments
Assalamualaikum. Salam Ramadan 1438H. 
Dah lama biarkan blog ini tidak berupdate huhu. Oleh kerana kesibukan dan agak kemalasan. Hahah. Jadi aku ingin berkongsi beberapa resepi masakan yang aku sempat untuk cuba buat sepanjang Ramadan. Kesemua ni kebanyakan kali pertama aku membuatnya.

Puding Roti Bakar Berkuah Kastard
Cara Penyediaan:

  1. Sapukan sedikit mentega pada loyang.
  2. Carikkan atau potong roti kepada bahagian yang kecil. Sapukan mentega pada roti.
  3. Susun kepingan roti ke dalam loyang.
  4. Taburkan kismis.
  5. Satukan susu cair, 2 biji telur, setengah cawan gula, dan sedikit esen vanilla.  Kacau kesemuanya. 
  6. Tuang ke atas roti, kemudian bakar pada suhu 180C selama 30 minit.
  7. Untuk sos kastard pula, satukan susu cair bersama tepung kastard dan kacau sebati. Kemudian masakkan di atas api biar sedikit pekat sahaja.
  8. Setelah masak, hidangkan puding roti bersama kuah kastard.

Puding Sumi
Cara Penyediaan:

  1. Bukakan setiap sumi dan toskan airnya. Masukkan ke dalam acuan dan simpan di dalam freezer sekejap dahulu agar sedikit keras.
  2. Masakkan agar-agar bersama air, masukkan daun pandan, kemudian satu cawan gula.
  3. Setelah mendidih, masukkan satu tin susu cair  yang teah dilarutkan bersama tiga sudu besar tepung kastard dan sedikit esen vanila.
  4. Biarkan sampai mendidih lagi, kemudian tutup api dan biarkan sejuk seketika.
  5. Tuangkan ke dalam acuan yang berisi sumi tadi. 
  6. Biarkan di luar seketika sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Karipap Sardin
Cara Penyediaan:

  1. Panaskan dua sudu besar margerin, setengah cawan minyak, sedikit garam, dalam periuk sehingga larut.
  2. Masukkan empat cawan tepung gandum ke dalam bekas dan buat lubang di tengah.
  3. Tuangkan bahan yang dipanaskan tadi ke dalam tengah lubang tepung tersebut. Kemudian kacau menggunakan sudu dahulu disebabkan masih panas.
  4. Dah sejuk sikit, masukkan air sejuk sedikit demi sedikit sambil uli, sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan.
  5. Bagi inti sardin pula, tumiskan bawang dan cili kisar sehingga pecah minyak.
  6. Kemudian, masukkan satu tin sardin dan lecekkan ikan sardin tu. Masukkan sos cili dan perasakan dengan gula dan garam.
  7. Masak sehingga inti menjadi sedikit kering dan siap.
  8. Terapkan doh dan boleh gunakan acuan untuk membentuknya.

Puteri Ayu
Cara Penyediaan:
  1. Satukan 2 biji telur, satu cawan gula, dan satu sudu besar ovallete. Putarkan kesemua sehingga menjadi gebu dan putih.
  2. Masukkan satu cawan setengah santan, air pandan yang telah dikisar, serta pewarna hijau. Teruskan putar sehingga sebati.
  3. Kemudian, masukkan tiga cawan tepung gandum dan satu sudu kecil baking powder. Kaup balikkan kesemua bahan hingga sebati atau putar pun boleh.
  4. Sapukan acuan dengan sedikit minyak.
  5. Gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam dan tepung ubi/jagung. Kemudian masukkan ke dalam acuan dan tekan padat-padat.
  6. Tuangkan adunan tadi ke dalam acuan, dan kukus sehingga masak.

Monday, 3 April 2017

Rezeki

14:11 0 Comments
Assalamualaikum. 

Rasa macam dah lama tak menaip post yang berilmiah sikit. Hoho. Entry ini juga untuk peringatan dan muhasabah diri sendiri juga. 

Apa yang dimaksudkan dengan REZEKI?
Seringkali kita dengar setiap orang mempunyai rezeki yang berbeza-beza, sama ada kita sedar ataupun tidak. Rezeki itu tidak semestinya diukur dengan wang ringgit atau kekayaan yang dimiliki. Nikmat rezeki itu jika kita betul-betul perhatikan amatlah luas, termasuklah sihat tubuh badan, tiada beban hutang, hidup bahagia disamping keluarga, dan banyak lagi lah.

Aku petik kata-kata daripada apa yang aku jumpa di media sosial ni:

Bila kita Tuhan bagi rezeki untuk sambung belajar tinggi, jangan perlekeh kawan yang tidak dapat sambung belajar. Kita tak tahu, mungkin dia tak dapat sambung belajar, tapi dia mampu jaga mak ayah dia lagi hebat daripada kita yang kononnya terpelajar ni. Ataupun mungkin Tuhan taknak susahkan dia nanti nak kena bayar PTPTN lagi. Huhu

Bila Tuhan bagi kita dapat kerja yang bagus-bagus, jangan perlekeh kawan yang kerja biasa-biasa ni. Kita tak tahu, mungkin kerja dia nampak biasa tapi lebih berkat daripada orang kerja gaji tinggi.

Bila Tuhan bagi kita ni rezeki kahwin awal (jodoh), jangan perlekeh kawan yang tidak kahwin-kahwin lagi, mana tahu jodohnya lambat tetapi takdirnya kekal sampai bila-bila. Ataupun mungkin Tuhan bagi peluang untuknya berbakti kepada ibu bapa dahulu.

Bila Tuhan bagi kita rezeki dapat anak dahulu, jangan perlekeh kawan yang belum dapat anak lagi. Kita tak tahu, mungkin dia tak dapat anak, sebab Allah nak kurniakan dia anak yang soleh/solehah, jadi persiapan untuk dapatkan anak tu memakan masa. Ataupun mungkin Tuhan nak dia betul-betul bersedia memikul tanggungjawab seorang ayah/ibu.

Jadi, nampak kan rezeki tu bagaimana bentuknya. Aturan Allah itu tersangatlah cantik sebenarnya, hanya kita je yang tak sedar. Dalam pada itu kita perlulah juga berusaha. 
Ada seorang lecturer kelas aku ni, dia sangatlah baik. Setiap minggu kelas pasti dia akan berikan atau belanja makanan kepada pelajar kelasnya. Kadangkala dia support kewangan bila ada buat program. Dia hanya minta untuk kami semua doakannya agar murah rezeki je. 
Begitu juga bila kita dah bergaji sendiri, simpan sedikit duit gaji tu untuk diberikan kepada ibu bapa atau mereka yang layak. Hal ini kerana, lagi banyak kita memberi, lagi banyak yang kita akan dapat, malah tak kurang walau sedikit pun. Mungkin dalam rezeki kita sebenarnya ada rezeki orang lain yang harus kita berkongsi.

Alhamdulillah, kita seharusnya bersyukur dengan semua itu. Aku pun bersyukur sebab ada orang yang sudi menaja domain blog ini. Harap beliau akan terus menaja dan sentiasa dimurahkan rezeki. Aminnn.. Hihihi

Betul kannn...

Maka, rajin-rajinkanlah diri kita untuk menjemput rezeki seperti bersedekah, memberi makanan kepada orang lain, solat dhuha, dan sebagainya. inshaAllah pasti rezeki lain akan datang kepada kita pula.


Sunday, 2 April 2017

Brownies Kedut

17:20 0 Comments
Hari ini nak berkongsi resepi brownies yang mudah, semua orang boleh ikut dan inshaAllah menjadi. Ini sesuai untuk adunan loyang 8x8.

Bahan A
- 85 gm butter atau unsalted butter170 gm coklat masakan (Dark compound coin Beryl's)
- 1/4 sk garam

Bahan B 
- 2 biji telur gred A
- 140 gm gula kastor/gula perang1 sk esen vanila

Bahan C (Diayak semua)
- 100 gm tepung gandum atau tepung naik sendiri tidak perlu tambah baking powder
- 1/4 sk baking powder
- 1/4 cawan serbuk koko

Coklat chip 45 gm (optional)

Cara-cara:
  1. Masukkan butter, coklat masakan dan sedikit garam ke dalam bekas, cairkan menggunakan kaedah double boil. Ketepikan dahulu.
  2. Dalam bekas lain pula, masukkan bahan B iaitu telur, gula kastor/perang, esen vanilla. Kacau dengan lembut sehingga sebati menggunakan whisk sahaja. Tidak perlu ambil masa lama untuk kacau.
  3. Masukkan bahan A yang telah dicairkan tadi.
  4. Kemudian masukkan kesemua bahan C yang diayak tadi. Kacau lembut kesemua adunan sehingga sebati sahaja.
  5. Masukkan coklat chip dan kacau.
  6. Griskan sedikit butter pada loyang, dan letakkan baking paper supaya mudah untuk dikeluarkan nanti.
  7. Masukkan dan ratakan kesemua adunan ke dalam loyang. Nak tabur coklat chip/badam ke apa lagi atas ni pun boleh.
  8. Pastikan oven dipanaskan dahulu sebelum membakar. Bakar selama 160 selama 40 minit bergantung kepada oven masing-masing.
  9. Selepas siap dibakar, jangan terus keluarkan dari oven, biarkan selama 10 minit dengan sedikit pintu oven yang terbuka, sebab masa ni permukaan brownies akan berkedut. Lepas dah sejuk bolehlah deco dengan nutella ke apa.

Hahaha macam buruk je rupa


Brownies Kedut

Thursday, 23 March 2017

LIMA'17

22:50 0 Comments
Lama tidak bersiaran disini disebabkan kesibukan kerja dan takde idea untuk menulis. Hahah. So ini hanyalah sekadar short entry untuk ceritakan sikit tentang event yang paling besar di Langkawi iaitu Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) pada tahun ini. Hoho. Alhamdulillah aku diberi kesempatan untuk pergi.

LIMA merupakan acara dwitahunan yang telah diperkenalkan pada tahun 1991. Event ini mempamerkan aset-aset pertahanan negara dan juga negara lain yang turut serta. Acara ini bermula pada 21 hingga 25 Mac. LIMA ni terbahagi kepada dua segmen iaitu maritim dan udara. Yang paling hampir sekali dengan rumah aku ialah segmen udara. Lebih bermakna lagi aku bersama kawanku pergi secara special dan bukan hari yang terbuka untuk orang awam. Hihi. 

Pass masuk siap ada nama lagi, on the spot pulak tu buat

Memula sampai tu kitorang masuk dalam dewan pameran dulu, dok pusing keliling tu macam bosan pulak. Hahah. Memang takda ambik gambar sangat la. Jadi layan jelah beberapa gambar aku dan member yang sempat kami ambik. 


Then kitorang gerak keluar untuk tengok airshow dan jet semua. 

Skuadron TUDM. Sekali dengan awan mendung yang berarak

US Air Force punya tentera boleh tahan hensem jugak. Hahah

Ni kapal terbang apa ntah

Dok bergambar pulak abang tentera ni. Hikss

Panasss wehhh time nii..burnnn muka akuu. Dok tengok bakal-bakal pilot hensem ramai sangattt. Hahaha

Helikopter

Black Eagles. Republic of Korea Air Force (ROKAF)

I Love #LIMA17. See you again at #LIMA19

Wednesday, 1 March 2017

Kek Coklat Karamel Kukus

22:29 0 Comments
Lama biarkan blog ni tak berupdate, jadi aku nak share resepi untuk membuat kek coklat karamel. Siapa yang suka makan karamel, bolehlah cuba buat yang ini pula. Gabungan antara kek coklat dan karamel di atasnya. 

 Bahan-bahan:
3 sdb besar gula

Bahan Karamel:
1 cawan susu pekat
1 cawan susu cair
1 sb esen vanilla
4 biji kuning telur (gred A)

Bahan Kek coklat:

Bahan A 
1 cawan susu pekat
1 cawan susu cair
1/2 cawan gula halus
1/2 cawan serbuk coklat
1 cawan minyak jagung

Bahan B
3 bji telur gred A
1sb esen vanilla

Bahan C
1 cawan tepung gandum
1 sdt soda bikarbonat
1 sdt baking powder

Cara-cara:
  1. Cairkan 3 sudu besar gula untuk dijadikan sebagai gula hangus. Tuang ke dalam bekas/loyang.
  2. Mix/blend kesemua bahan karamel, dan tuang ke atas gula hangus tadi. Kukus kira-kira dalam 25 minit dan setelah masak biarkan sejuk seketika.
  3. Untuk kek coklat pula, satukan kesemua bahan A, kacau dan masak di atas api hingga sebati.
  4. Masukkan telur yang telah dipukul bersama esen vanilla.
  5. Ayak kesemua bahan C, dan satukan kesemua bahan untuk kek ini sekali. Kacau.
  6. Tuangkan ke atas karamel yang telah disejukkan tadi. Kukus lagi selama 45 minit.
  7. Setelah masak, biarkan sejuk seketika, kemudian barulah terbalikkan. Hal ini untuk memastikan kek terbentuk cantik.


Sunday, 5 February 2017

Kek Marble

10:07 0 Comments
Kek marble merupakan salah satu kek legend daripada zaman dulu lagi. Keknya yang berupa belang-belang, atau bercampur warna. Tarikan pada kek ini ialah campuran warnanya itu, serta kreativiti si pembuat untuk menjadikan corak warna itu cantik dan kemas tersusun. Mari lihat cara-cara membuatnya.

Hahaha.. tak berapa lawa sangat

Bahan-bahan:
  • 1 cawan marjerin
  • 1 cawan gula kastor
  • 4-5 biji telur gred A
  • 3 sdb susu pekat
  • 1 sdb esen vanilla
  • 2 1/2 cawan tepung gandum / tepung naik sendiri (diayak)
  • 1 sdb baking powder - Jika menggunakan tepung naik sendiri tidak perlu baking powder
  • Pewarna (1 sdb serbuk koko)
  • 3 sdb air panas
Cara-cara:
  1. Satukan marjerin dan gula kastor. Putar menggunakan mixer.
  2. Masukkan telur. Sama ada nak pecahkan telur kemudian masuk satu-satu, atau pecahkan telur dalam bekas lain dan kacau.
  3. Teruskan putar, masukkan esen vanilla dan susu pekat. Pukul sehingga kembang.
  4. Kacau adunan mengunakan senduk/spatula, kemudian masukkan tepung yang diayak sedikit demi sedikit.
  5. Kacau sebati adunan, menggunakan kaedah kaup balik.
  6. Asingkan adunan kepada dua bahagian. 
  7. Campurkan serbuk koko dengan sedikit air panas, kacau dan masukkan separuh adunan tadi. Kacau sebati.
  8. Sediakan loyang yang telah disapu dengan marjerin atau baking paper.
  9. Masukkan adunan asal sebagai base, kemudian masukkan adunan yang dicampur serbuk koko di atasnya. Selang selikan mengikut warna. Boleh juga gunakan cara masukkan sesenduk demi sesenduk, kemudian goyangkan loyang biar rata keseluruhan.
  10. Panaskan oven terlebih dahulu, kemudian bakar selama 40minit, dengan suhu 160 bergantung jenis oven. 

Friday, 3 February 2017

Laksa Lemak Thai

22:17 0 Comments
Seperti yang kita tahu laksa ini terdiri daripada pelbagai variasi kan, ada jenis Laksa Penang, Laksa Johor, Laksa Kelantan, dan tidak ketinggalan juga laksam. Yang banyak membezakan laksa ini adalah dari segi kuahnya. Disini aku nak berkongsi resepi laksa lemak Thai, ia boleh juga didapati di negeri sekitar Perlis, Kedah. Bagi penggemar laksa, mereka haruslah tidak ketinggalan untuk mencuba kesemua jenis laksa ini. 

Bahan-bahan:
  • Laksa jenis halus - rendam sekejap, kemudian rebus dan toskan
  • Sekilo ikan (Kembung/Selayang) - rebus bersama asam keping dan garam, ambil isinya, tumbuk/kisar halus. Air rebusan tu simpan bersama asam keping nya sekali. Tulang dan kepala ikan pula dikisar halus kemudian dicampur air dan ditapis. Simpan air tapisan tulang.
  • 1 biji kelapa diperah santan - Kalau nak kuah lebih berlemak boleh tambah lagi kelapa
  • 2-3 asam keping
  • 5-6 daun limau purut
Bahan kisar:
  • 4-5 ulas bawang besar
  • 5-6 cili padi - ikut rasa pedas
  • 2 inci kunyit hidup
  • 2 inci lengkuas
  • 1 inci halia
  • 2 batang serai
  • Sedikit lada hitam (optional) - kalau nak tambahkan lagi rasa pedas
Bahan ulam:
  • Kacang panjang dipotong
  • Timun dihiris
  • Kobis dihiris
  • Taugeh (optional)
  • Betik/mempelam dihiris (optional)
Cara-cara:
  1. Panaskan minyak, tumis bahan yang dikisar tadi, sehingga naik bau.
  2. Masukkan separuh santan cair.
  3. Kemudian, masukkan air rebusan ikan bersama dengan isi ikan yang dikisar. Boleh tambahkan sedikit air.
  4. Masukkan asam keping dan daun limau purut. Biarkan kuah mendidih.
  5. Akhir sekali, masukkan santan pekat. Perasakan dengan gula dan garam.
  6. Kacau kuah, masak sehingga mendidih, jangan sampai pecah minyak pulak.



Thursday, 2 February 2017

Cara Menjahit Dress Skirt

14:57 0 Comments
Aku ada terjumpa satu teknik yang menunjukkan cara untuk menjahit dress skirt ke apa ntah orang panggil baju ni hahah. Sangat sesuai dibuat baju kanak-kanak. Sebenarnya aku ambil dari page luar negara, dan dia takda bagitau details sangat, jadi kena la perhati dan teliti sendiri huhu. Oleh itu, aku pun terfikir untuk simpan dan berkongsi disini.

Cantik kannnn 

 Ni bentuk polanya, yang sebelah kiri tu bahagian hadapan, yang tengah tu bahagian belakang, dan yang sebelah kanan untuk skirt.

Skirt ni jenis circle, kebiasannya gunakan kain yang bidang 60 supaya senang. 

Ini kepingan kain yang telah dipotong, untuk bahagian hadapan pastikan lipat dua kain. Untuk bahagian belakang pula, kalau nak letak zip boleh potong sekeping-keping seperti gambar di atas.

Lipat macam bentuk empat segi untuk ambil potongan skirt ni, letakkan pola yang tadi, bolehlah ukur panjang mana yang nak dan lukis separa bulat supaya menjadi bentuk skirt. Pola yang dia buat ni macam menarik dan mudah jugak.

Haa ni yang dah potong membentuk circle. Tapi yang bahagian atas tu mestilah kena ikut ukuran badan atau baju yang nak dicantum nanti.

Ni panduan untuk memotong circle skirt ye, sama ada nak kembang sikit ke banyak. Kalau nak buat baju macam ala-ala peplum pun sesuai jugak ni.

Cantumkan kedua-dua bahagian hadapan dan belakang. Memula sekali cantum bahu dan jahit, kemudian tepi badan pula. Kalau macam dalam gambar dia letakkan getah di sekeliling tu. Ikut kreativiti masing-masing la mungkin ada idea lain ke kan. Ini cuma guide je. Mungkin nak buat bahu ropol-ropol ke apa.

Kemudian cantumkan badan dengan skirt tu. Jahitlah sekeling bawah skirt tu.


Okay dah. Mana yang nak cuba buat untuk baju sendiri ke baju anak boleh try ni ye.


Wednesday, 1 February 2017

Buat Riben Menggunakan Fabrik

22:01 0 Comments
Dah lama tak share DIY ni, asyik resepi makanan je kan. Baru-baru ni aku ada terjumpa satu post di group menjahit dalam Facebook tentang bagaimana membuat riben gunakan fabrik. Riben ni sesuai diletak pada baju kanak-kanak dan sebagainya. Aku pernah buat ni pada suatu ketika dahulu, tapi dah ingat-ingat lupa laa hehehe. Jadi aku kongsikan disini ye. 

 Memula sekali mestilah perlukan kain yang berukuran seperti di atas, dalam inci ye. Potong seperti bentuk yang ditunjukkan.

Yang ni korang memerlukan sedikit kepakaran menjahit hoho. Dimana kena jahit di keliling bahagian sebelah dalam tu, jangan jahit sampai habis pulak sebab nanti kena alihkan ke sebelah luar seperti di atas. Kemudian barulah jahit penuh.

Okay, susun macam ni. 

Lipat dua yang bahagian panjang tu seperti yang ditunjukkan dalam gambar, kemudian jahit di tengah tu. Perkemaskan bagi cantik.

Taraaaa... dah siapppp. Heee boleh letakkan pin di belakang tu.


Kredit Gambar: Husna Ibrahim - Geng Jahit Empire Chinta Design


Monday, 30 January 2017

Murtabak Maggi

22:11 0 Comments
Malam tadi tetiba terasa lapar, lalu tengok bahan apa yang ada kat dapur tu dan terlintas untuk buat murtabak maggi. Hoho. Sebab cara nak buat ni adalah simple dan cepat je. Sesiapa pun boleh cuba buat masakan ni di rumah.

Bahan-bahan:
1 peket Maggi Kari (pastikan perisa kari barulah sedap)
3 biji telur
Daun bawang dipotong
Bawang besar dipotong kecil
Sosej atau jejari ketam dipotong (optional)

Cara-cara:
  1. Celur maggi dalam air yang panas, jangan sampai kembang pulak. Kemudian toskan maggi tersebut.
  2. Pukul telur di dalam bekas, masukkan perencah kari yang terdapat dalam peket maggi. Kacau.
  3. Masukkan pula daun bawang, bawang besar, sosej yang telah dipotong tadi.
  4. Masukkan maggi ke dalam campuran tadi. Gaul kesemuanya.
  5. Panaskan minyak sedikit dalam pan, jangan guna kuali pulak nanti tak jadi elok. Tuangkan maggi ke dalam pan, dan tekan-tekan sedikit biar maggi tu mampat.
  6. Bila kedua-dua belah dah agak garing dan tak bercerai maggi tu bolehlah diangkat. Tapi part nak terbalikkan tu memang agak mencabar hahaha sebab dah tebal lembut takut bercerai. Siap dan sedia untuk dihidangkan.
Hehehe.. rupa tak berapa nak cantik sangatt. Asalkan rasa sedappp.


Friday, 20 January 2017

Somtam Thai

21:30 0 Comments
Siapa kat sini yang suka makanan Thai? Kalau peminat makanan Thai pasti tak terlepas untuk rasa sejenis makanan Thai yang dipanggil Somtam ni. Kalau pergi ke Thailand, ini adalah antara menu yang harus dirasa lah. Somtam ni ala-ala kerabu juga yang berasaskan betik dan campuran lain. Rasanya mestilah sedappp! Masam-masam pedas gituuu. Bagi sesiapa yang ingin mencuba somtam ni, bolehlah follow resepi di bawah ye.

Bahan-bahan:
1 biji betik muda (disagat)
Separuh mangga muda (disagat)
1 batang carrot (disagat)
5 biji cili padi (Ikut selera) 
6 ulas bawang putih 
2 sb udang kering 
5 sb gula kabong (warna putih dan likat, kalau takda boleh guna gula pasir biasa) 
4 sb sos ikan 
3 biji limau nipis 
2 biji tomato dipotong 
Kacang tanah digoreng tanpa minyak (nak tumbuk sedikit pun boleh)
Ikan bilis digoreng
Kacang panjang dan sayur kangkung dipotong (optional)

Cara-cara:
  1. Tumbuk kasar cili padi, bawang putih, udang kering, bersama kacang panjang.
  2. Masukkan bahan yang ditumbuk ke dalam bekas besar yang berisi bahan disagat (betik, mangga, lobak merah).
  3. Masukkan gula, sos ikan, perahan limau nipis, tomato, sos ikan. Gaul ke semua bahan.
  4. Adjust rasa masam, manis, pedas mengikut citarasa yang diingini, bergantung kepada gula, perahan air limau nipis, dan cili.
  5. Apabila rasa telah sebati, bolehlah dimakan bersama kangkung, serta ditabur dengan kacang tanah dan ikan bilis digoreng rangup.
Masa buat ni kacang panjang takda pulak. Memang tak umphh lahh.
Kalau di Thailand sana, mereka terus masukkan semua tu ke dalam lesung dan ditumbuk sedikit menggunakan lesung yang besar tu.