Follow Us @syahbinar

Saturday, 10 December 2016

Giat MARA Dalam Kenangan

14:31 0 Comments
Assalamualaikum... 

Dah lama aku tak update blog ni, tetiba baru-baru ni ada kekawan aku tanya pasal kemasukan ke Giat MARA, jadi aku pun tergerak hati nak berkongsi serba sedikit tentang Giat MARA ni. Aku sebenarnya merupakan bekas pelatih Giat MARA sesi 1 tahun 2014 di pusat Giat MARA Langkawi. Masa tu aku baru lepas habis STPM, so ada masa yang panjang sebelum aku sambung belajar, maka aku mengambil keputusan untuk mengambil kursus menjahit di sini selama enam bulan. Kursus ini lebih dikenali sebagai Fashion and Dressmaking, kemain nama kannnn. Ada juga kursus yang ditawarkan makan masa agak lama sehingga dua tahun.


Sebenarnya, belajar kemahiran ni best jugak disamping melengkapkan diri kita dengan ilmu-ilmu dalam kehidupan kita serta pengalaman baru yang boleh kita peroleh. Banyak kenangan indah dan lucu di Giat MARA ini sebenarnya, disini aku belajar untuk bergaul dengan rakan sekursus yang bukan daripada umur yang sama kerana disini kami dicampur dengan pelbagai peringkat umur daripada umur budak sekolah sehinggalah ke umur makcik yang dah bercucu. Jadi disini sikap hormat-menghormati itu memang sangatlah penting, selain daripada rakan kursus, tenaga pengajar (cikgu) disini juga terdiri daripada mereka yang baik dan sporting. Mereka sentiasa ada untuk membantu dan mengajar kita.

Pembelajaran disini juga agak santai, tidaklah terlalu stress dan terbeban sangat. Memang boleh dikatakan aku sangat enjoy disini. Dalam satu kelas selalunya bilangan pelatih dalam 20 orang macam tu je. Waktu disini seperti juga waktu bekerja iaitu dari jam 8.00 pagi - 5.00 petang, dan cuti pada hujung minggu serta cuti umum. Sebelum jam 8.00 pagi kami perlu sampai ke sini dan punch card, kemudian ada baris pagi lebih kurang 20 minit macam tu, ala-ala macam sekolah jugak la. Hohoho. Macam aku ni lepas balik rumah, malam tu memang terus mengantuk dan tidurlah. Hahah. Kebiasaanya kami disini takde la menjahit je setiap hari tu, pada hari Khamis selalunya kami akan bersukan, lepastu ada game bowling, berkelah di hujung minggu dan banyak lagi lah. Dalam tempoh enam bulan kursus tu, akan ada cuti pertengahan semester selama satu minggu. Tapi bila dah last-last bulan keenam disini, barulah rasa betapa sedih dan rindunya nak tinggalkan Giat MARA ni. Sebab disini jugalah buat pertama kalinya aku belajar pegang mesin jahit, lukis pola, potong kain la apa semua. Perkara yang paling tak sangka aku mampu buat untuk hasilkan pakaian daripada hasil tangan sendiri. Memang agak banyak benda baru yang aku belajar disini.

Mesin jahit yang aku gunakan sepanjang enam bulan disini

Untuk pengetahuan, pelatih Giat MARA ini akan diberi elaun sebanyak RM200 sebulan. Tapi kalau tak salah aku hanya untuk pelatih kali pertama sahaja, kalau masuk untuk kali kedua dah tak dapat elaun lagi. Okay sangat la tu kan, dah dapat kemahiran pastu duit pun orang bagi lagi. Ada sesetengah Giat MARA ni menyediakan asrama khusunya untuk pelatih wanita. Nasihat aku bagi yang berminat untuk mengikuti kursus di Giat MARA ni, niatlah di hati dengan penuh kesungguhan untuk belajar dan manfaatkan semua ni, bukan sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja kerana itu hanyalah sia-sia. Ini kerana apa yang di belajar disini memang untuk kita guna pakai dan yang lebih baik jika kita mampu untuk kembangkannya, mana tahu mungkin boleh jadi seorang usahawan, kerana Giat MARA ni memang melatih untuk kita mencari peluang-peluang menjana pendapatan. Disini juga bukan hanya belajar praktikal semata-mata, ada juga teori dan peperiksaan (peperiksaan biasa-biasa je). Setiap apa yang kita hasilkan akan diberi penilaian markah dan akhir sekali tercatat dalam sijil apabila tamat belajar nanti.

Giat MARA ni terdapat di setiap daerah dalam sesebuah negeri tu, jadi bolehlah tengok kursus-kursus yang ditawarkan itu di SINI. Yang mana berhampiran dengan tempat tinggal anda.
Boleh cuba untuk mendaftarkan diri pada sesi kemasukan awal tahun 2017. Tapi sebelum tu diorang akan panggil untuk temuduga terlebih dahulu, temuduga ni sebenarnya biasa-biasa je, diorang tanya sikit-sikit dan lebih kepada nak lihat diri kita. Kemudian akan ada orientasi selama seminggu untuk sesi suai kenal.

Kalau ada yang berminat dengan kursus Fashion and Dressmaking di Giat MARA ni, basically mula-mula korang akan belajar melukis pola di kertas, memotong kain, dan menjahit baju. Antara baju yang akan dijahit ialah baju kurung, baju melayu, blouse, kemeja, bergantung kepada modul. Selain itu, korang kena melukis fesyen baju di kertas, ala-ala fashion designer gitteww. Hikss

Baju kanak-kanak aku dulu ni. Hahaha


Saturday, 3 September 2016

Day Cruise bersama Tropical Charters

23:00 0 Comments
Harini aku berkesempatan untuk join naik cruise bersiar di sekitar Pulau Langkawi ni disebabkan ada program Geopark Educational Tour anjuran LADA. Untuk menaiki cruise ni, kita perlu pergi ke Resort World Hotel yang dulunya dikenali sebagai Awana Porto Malai. Kerana disini kapal-kapal itu berlabuh, dan disini jugak la lokasi apabila pameran Langkawi Maritime and Aerospace (LIMA) bagi bahagian maritime diadakan. Star Cruise yang kapal mewah tu pun tak salah aku ada jugak berlabuh dekat sini dahulu. Ada dua company yang menyediakan perkhidmatan cruise di Langkawi untuk bersiar-siar ni, iaitu Tropical Charters dan Crystal Yacht.

Inilah Hotel Resort World tersebut

Aku lupa pulak nak amik gambar rupa kapal ni kat luar, tapi memang besar la jugak kapal ni boleh naik ramai. Dalam ni diorang siap sedia banyak jenis air juga kalau nak minum-minum. Di atas pun ada lagi ruang untuk duduk, tandas pun turut disediakan.

Ni diorang punya staf. Abang krew kapal, muda-muda lagi ni. Hikss

Sapa yang nak cuba mandi dalam salt jacuzzi water ni boleh laa. Heheh best jugak aku tengok tapi masa aku ambik gambar ni takda orang mandi lagi. Oh ya, diorang juga ada sediakan instructor sorang lelaki dan perempuan. Kalau mana yang takut sangat tu boleh je pakai life jacket.

Disebabkan pergerakan cruise ni memang slow je, jadi bolehlah menikmati keindahan alam sambil berehat-rehat gitteww. 

Laut terbentang luas. Nasib baik langit pun cantik, biru je.

Ni bot untuk pergi island hopping. Yang mana dekat sekitar ni ada Tasik Dayang Bunting dimana termasuk dalam pakej island hopping itu.

Dah laa naik cruise ni bawak slow santai je, depa yang naik bot laju ni memang bagi ombak dekat kapal ni habis laa terhuyung-hayang. Haha

Dah nak balik sampai jeti. Hoho

Okay dah, fefeeling pelancong sikit atas cruise tuu. Hahaha. Pakej untuk cruise ni sekali dengan makanan dan minuman ye. Kalau sesapa yang teringin nak mandi, boleh bawak baju dan tuala sekali, cuba berendam dalam laut. Hihi. Tapi bagi aku, day cruise ni panas sikit laa kalau kena cuaca panas. Berbanding kalau sunset cruise tu dah teduh sikit, dan boleh menikmati sunset bersama orang tersayang. Romantik ciked. Hiks

Kepada yang berminat, mungkin ada yang nak berhoneymoon ke bolehlah hubungi nombor di atas, search diorang punya Instagram apa semua. Diorang ada sediakan tiga jenis pakej cruise dengan harga yang berlainan.

p/s: Gambar tu semua aku ambil tanpa edit haha malas pulakk


Tuesday, 30 August 2016

Masak Lemak Ketam dengan Betik

14:53 0 Comments
Menu tengah hari kami pada hari ini ialah ketam masak lemak bersama buah betik. Masak lemak ni bukan masak lemak cili api tu ye yang rasa pedas, ni masak lemak manis-manis sikit ditambah pula dengan kemanisan buah betik itu. Betik pula mestilah yang bukan masak sepenuhnya lagi, betik yang masih muda oren-oren sikit warnanya. Masak lemak ketam ini juga boleh digantikan dengan udang. Bahan-bahan dan cara memasak ni mengikut cara mak aku.

Bahan-bahan:  

- 2 biji buah betik dipotong kecil memanjang
- Beberapa ekor ketam
- Santan
- Sedikit kunyit hidup
- Sedikit cili kering
- Sedikit belacan
- Bawang merah
- Bawang putih
- Gula dan garam secukup rasa

Cara-cara:
  1. Tumbuk di dalam lesung cili kering, belacan, kunyit hidup, bawang merah dan bawang putih bersama. Pastikan cili kering tu direndam dahulu lah sebelum tumbuk. Nak kisar pun boleh tapi sebab sikit je pun itu yang tumbuk je.
  2. Perahkan santan terus ke dalam periuk, sebab aku guna santan kelapa jadi kena perah dululah bersama sedikit air. Tinggalkan sedikit pati santan untuk dimasukkan pada akhir sekali biar rasa lemak-lemak tu.
  3. Masakkan santan tadi bersama buah betik agar sedikit empuk. Jika nak tambah kuning lagi pada kuah boleh masukkan sedikit serbuk kunyit.
  4. Kemudian, masukkan pula ketam tadi.
  5. Perasakan dengan garam dan gula. Biar manis-manis sikit.
  6. Biarkan seketika. Bila dah agak masak, masukkan pati santan tadi dan kacau. Tutup api.
Fuhhh.. Hihi sebabkan pokok betik dekat rumah aku ni takda buah yang oren-oren sikit, ini jelah yang ada.



Monday, 29 August 2016

Merdeka di Gunung Raya

23:38 0 Comments
Harini buat pertama kalinya dalam sejarah hidup, aku menjejakkan kaki ke Gunung Raya dimana gunung ini merupakan gunung yang tertinggi di Langkawi. Tapi..tapi.. bukanlah hiking ye. Hahaha tak larat aku wehh kalau nak hiking, dah laa kena naik tangga. Pergi dengan kereta jelah sebab memang tersedia binaan jalan raya untuk diakses oleh kenderaan, tapi memang tinggi lah kawasan ni (881 meter). Semasa dalam perjalanan nak ke puncak ni, kita sendiri dah boleh lihat pemandangan di bawah sana, kepulauan Langkawi. Tapi yang agak pelik bagi aku adalah dimana dekat atas ni pun ada lembu-lembu yang berkeliaran. Hahah musykil betul aku.

Gunung ini sebenarnya ada mitos yang tersendiri, biasalah Pulau Langkawi ni kan penuh dengan lagenda, pelbagai cerita. Menurut mitos itu, pada dahulunya terdapat pergaduhan antara Mat Raya dan Mat Chincang, maka tercetuslah nama sedemikian rupa. Gunung Mat Chincang pulak memang tidak asing lagi bagi pelancong yang datang ke Langkawi sebab disitu terletaknya cable car yang memang menjadi tumpuan orang ke sini. 

Aku datang sini masa awal pagi jugak la lebih kurang pukul 10. Kebetulan pulak pagi ni hujan di Langkawi. Jadi bayangkanlah atas gunung tu memang berkabus lah masa awal sampai tu, kabur je pandangan. Memang sejukkk kott. Kemain patriotisme kan aku siap dengan bendera bagai. Hahah bersempena dengan bulan kemerdekaan ini. Gitteww. Jadi biarlah gambar berbicara hoho.

Kibaran bendera Malaysia di puncak gunung yang diselimuti kabus

Dimana waktu ni boleh dilihat bagaimana kabus beransur-ansur hilang daripada pandangan.

View SubhanaAllah cantik yakmatttt

Kibaran bendera ni dah nampak pemandangan jelas dah hehe

 Di atas ni terdapat sebuah chalet ke apa benda ntah aku pun taktau. Kawasan ni agak curam ye bukan landai.

Bila awak nak memerdekakan hati saya ni? Hiks

Kedudukan Gunung Raya boleh dikatakan di tengah-tengah dalam pulau ini, jadi memang hampir keseluruhan kawasan dalam Langkawi ni boleh dilihat dari atas sini.

Sebenarnya, aku tak plan pun untuk update blog pasal ni, so memang takda la banyak sangat ambik gambar kat sini. Rugi pulak. Tapi memang seriuss cantikk. Sangat kagum dengan keindahan-Nya. Buat pencinta-pencinta alam sekelian bolehlah datang ke sini menikmati panorama. Tapi kalau boleh datanglah pada waktu cuaca redup sebab di atas tu kawasan terbuka takda tempat berteduh, kalau time panas memang bahang laa.

Thank you for today, love.


Sunday, 28 August 2016

Tomyam Putih

15:02 0 Comments
Antara menu lunch aku pada hari ini ialah Tomyam Putih. Apa beza tomyam putih dengan tomyam merah yang biasa kita makan dekat kedai tu ialah tomyam ini tanpa menggunakan paste, rasanya lebih kurang sama jugak. Masam-masam pedas gituu tapi seakan sup sikit laa, kuahnya pun sedap dihirup. Dapat makan ni dengan nasi bersama telur dadar pun dah cukup nikmat tuu.
Cara masak pun lebih simple aku rasa berbanding tomyam biasa tu. Jadi marilah lihat resepi di bawah.

Bahan-bahan:

- Ayam dipotong kecil
- Udang/sotong
- 2 biji bawang besar dipotong
- 2 biji tomato dipotong
- 1 batang lobak merah dipotong
- Bunga kobis dipotong
- Cendawan
- Daun limau purut
- Perahan limau nipis/jus limau
- Beberapa biji cili dititik
- Beberapa batang serai diketuk
- Lengkuas diketuk
- Air
- Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:
  1. Masukkan air ke dalam periuk, kemudian masukkan serai, lengkuas, bawang. Kalau nak masukkan bawang putih pun boleh, tapi aku tak suka sangat sebab bau. Rebus kesemuanya.
  2. Setelah itu, masukkan pula ayam sehingga agak dah masak. 
  3. Masukkan daun limau purut, air perahan limau, cili. Kacau.
  4. Masukkan udang/sotong. 
  5. Seterusnya, masukkan kesemua sayuran kecuali tomato. Lobak merah nak masukkan di awal sikit takpa biar dia empuk.
  6. Dah agak mendidih, perasakan dengan gula/garam.
  7. Akhir sekali, masukkan tomato. Biarkan seketika dan sedia untuk dihidangkan.


Saturday, 27 August 2016

Dikala Hujan

12:51 0 Comments
Merenung ke luar jendela 
Kedengaran titisan hujan turun ke lantai bumi
Tiap titisan membisikkan irama
Iringi tangis mahupun ketawa

Iringan hujan terus membasahi
Basahnya mengoyak jiwaku
Basahnya menyamari air mataku
Basahnya melarutkan dukaku

Dentingan hujan berlagu syahdu
Bagai tiada petanda untuk berhenti
Selebat itu tangisan hujan didengari
Sedalam itu jua tangisan hati dirasai



Thursday, 25 August 2016

Aku, Dia, dan Pantai

21:46 0 Comments
Ku susuri pantai ini
Hamparan putih mengheningkan hati
Deburan ombak membuai sunyi
Biru langit menyejukkan mata

Didada lautan luas ini
Ku lihat membiru kasihmu
Halus pasir ku pijak ini
Ku rasa sehalus sayangmu

Tika bayu menghembus lembut
Menyentuhi kedua pipi
Lantas senyumanku ukirkan
Bagaikan merasai kehadiranmu

Pabila sepi menghambat diriku
Ku terdengar seakan nyanyian ombak menemani
Desirannya mengulit pantai
Buatkan aku resah merinduimu...



Wednesday, 24 August 2016

Puding Triffle

22:16 0 Comments
Kalau time panas ni, sungguh enak kan jika dapat makan makanan yang sejuk-sejuk. Fuhh memang menjadi kesukaan lah. Jadi, baru-baru ini aku ada buat puding triffle. Puding ni sebenarnya mudah je untuk dibuat, bahan pun mudah cari. Bolehlah kalau sesapa yang rasa nak cuba buat tu follow je resepi di bawah ini. Hikss. Ada sesetengah orang panggil ni sebagai fruit cocktail layer.


Bahan-bahan:

- 1 tin koktail buah (dibuang air)
- 1 tin susu cair
- 1 cawan air
- Swiss roll cake
- 1 cawan tepung kastad
- Gula
- Sekotak crystall jelly
- Sedikit pewarna merah (optional)


Cara-cara:
  1. Potong kek swiss roll tu dan susun di dalam bekas. Susun rapat-rapat biar takde ruang. Kek ni boleh didapati di pasaraya je atau bakery. Boleh juga percikkan sedikit air koktail tadi di atas kek ini.                                                                                                                                         
  2. Masukkan tepung kastad, susu cair, setengah cawan gula dan air ke dalam bekas. Satukan dan kacau dahulu agar tidak berketul, kemudian masak di atas api sambil kacau jugak ye sehingga pekat. 
  3. Ratakan tepung kastad yang telah dimasak tadi di atas swiss roll cake yang telah disusun tadi.
  4. Ambil buah-buahan koktail tadi dan letakkan di atas lapisan tepung kastad.
  5. Kemudian, masakkan crystall jelly mengikut arahan dibelakang kotak tu ye. Sambil tambah sedikit gula dan pewarna merah agar lebih cantik warnanya.
  6. Tuangkan ke atasnya, biarkan dalam suhu bilik dahulu kemudian sejukkan di dalam peti ais beberapa jam.
Aku terlupa nak ambik gambar banyak pulak. Lahaii.
Okay. Biasanya kalau nak lagi sedap, gunalah swiss roll perisa pandan dan crystall jelly perisa strawberry.


Thursday, 18 August 2016

Makaroni Cheese Goreng

14:41 0 Comments
Fuhhhh.. Lama tak update resepi dekat sini, malas pun ada. Kesian blog ni terbiar je. Huhuhu.

Baru-baru ni aku ada cuba buat makaroni cheese goreng refer resepi daripada Facebook. Memandangkan ada lebihan makaroni haritu. Tengok macam sedap jerrr. Hahaha. Hasilnya okay laa, tapi aku rasa lebih suka makaroni goreng biasa dengan makaroni bakar lagi la.


Bahan-bahan:

- Makaroni yang telah direbus (Aku buat ni guna setengah peket je)
- 1 tin Prego Cheese & Herbs
- 1 kiub pati ayam Knorr
- Cendawan butang dihiris
- Sebiji lada benggala dipotong 
- Sosej yang dihiris
- Beberapa keping cheddar cheese (optional)
- Garam/gula
- Hirisan bawang putih untuk menumis


Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih. Kemudian masukkan kiub pati ayam Knorr kacau sehingga hancur.
  2. Masukkan cendawan dan sosej yang dihiris tadi. Goreng seketika.
  3. Masukkan sos Prego Cheese & Herbs, kacau sebati.
  4. Masukkan pula makaroni, dan kacau. Jika kering tambahkan sedikit air. Boleh perasakan dengan garam ke gula. Tapi jangan terlebih sangat sebab kiub pati ayam tadi dah agak masin.
  5. Masukkan lada benggala yang telah dipotong.
  6. Untuk lebih berkeju, boleh tambahkan cheddar cheese tadi. Kacau sebentar, dah masak dan boleh dihidangkan.

Sunday, 26 June 2016

Cuti Semester Bermula

13:11 1 Comments
Assalamualaikum.

Dah hampir sebulan biar blog ni tidak berupdate. Nak kata busy tu, busy la jugak hahah. Dengan final exam bagai, dan aku taktau nak update apadia. Target aku setiap bulan sekurang-kurangnya ada satu entry, yala macam rugi pulak orang dah tolong bayar domain untuk blog ni, so kena la hargai dan gunakannya.

Alhamdulillah, aku telah selesai peperiksaan akhir semester empat di UUM. Fuhh kejap je rasa dah dua tahun rupanya aku belajar. Masih berbaki dua tahun lagi. Sungguh pantas masa itu berlalu sama ada kita sedar atau tidak. Maka bermulalah cuti semester lebih kurang dua bulan jugak la. Memandangkan sekarang ni di bulan Ramadhan, maka masa banyak di rumah dan taktau nak buat apa lagi lah sepanjang cuti ni. Manfaatkan bulan mulia ini dengan sebaiknya.

Susah jugak nak memikirkan apa yang nak dibuat memandangkan aku tidak pernah bekerja ke apa pun. Alahaii.. Jadi apa yang harus lakukan sepanjang cuti semester ini.

Ini hanya short entry sahaja. Hahaha. Taktau nak taip apa lagi. Kbye.



Saturday, 14 May 2016

Menjahit Dress Simple: Pola Ukuran

14:06 0 Comments
Kali ni aku nak share pola dress simple yang korang boleh cuba jahit sendiri. Sebenarnya basic buat dress ni lebih kurang jubah je, begitu juga baju kurung moden. Material kain pula kalau nak dress yang flowy boleh la guna kain chiffon atau satin silk, kalau nak macam keras sikit boleh la guna kain jenis cotton. Tapi untuk chiffon mesti kena lining bahagian dalam pulak kan. Untuk ukuran pola lebih lanjut boleh rujuk entry lama aku disini.

Hasil dress lebih kurang macam inilah. Cantikk kann kann.. Tapi boleh adjust labuh semua tu ikut kehendak sendiri

 Ukuran yang diperlukan adalah:

1) Panjang bahu

2) Keliling dada (bust)

3) Keliling pinggang (waist)
4) Keliling punggung (hip)
5) Labuh dress (mengikut kehendak sendiri, kalau nak labuh boleh ukur dari bahu ke kaki)
6) Panjang lengan (sleeve)


 Okay untuk buat pola pulak, ukuran yang dah ukur tadi boleh buat kira-kira ikut calculation yang dah dipermudahkan seperti dalam gambar diatas. Biasanya lukis dalam kertas minyak bagi yang baru-baru nak belajar melukis pola.

Ini pulak bagi ukuran leher

Yang ini pulak untuk formula ukuran lengan. Jadi kesemuanya akan ada pola belakang, pola hadapan dan dua bahagian lengan. Jangan lupa itu tanda lipatan ye.

Okay itu sahaja. Selamat mencuba bagi yang nak mencuba. Kredit kepada Saujana Tailor
Aku rasa macam nak cuba jahit dress pendek laa nanti. Hohoho


Pola Menjahit Baju Kanak-Kanak: A Line Dress Pattern

00:32 0 Comments
Bila tengok traffic source blog ni, banyak keyword pasal jahitan yang masuk. Mungkin ramai yang dok search pasal menjahit kot. So, aku nak share laa apa yang aku jumpa dalam group Geng Minat Minat Menjahit di Facebook. Sebenarnya, aku memang berminat sikit ke arah baju kanak-kanak ni sebab memang comel gilaa dan pelbagai gaya, disamping itu juga kita boleh bereksperimen untuk jahit baju saiz dewasa dengan menggunakan baju kanak-kanak. Jadi kena simpan untuk rujukan masa depan ni hahaha, kot ada anak sendiri nanti ke.

Ini dia siap bagi pola lagi, boleh download disini: https://drive.google.com/file/d/0B9JKgHL60V-xeERud1FSNzMzOWs/view

Pola adalah untuk dress saiz 6 bulan, 1 tahun dan 2 tahun. Tinggi budak ikut saiz:
6 bulan = 72 cm
1 tahun = 80 cm
2 tahun = 92 cm


Print pola dengan option 'actual size'. Lepas print, ukur kotak empat segi ni untuk pastikan saiz print betul. Selepas dah pastikan ukuran betul, gunting atau lipat kawasan tepi pola. Cantumkan pola guna gam atau selotape. Pastikan bahagian diamond bertemu.

Ini yang telah siap dicantum. Kemudian gunting pola mengikut saiz yang diingini.

Gunting 1 keping bahagian depan, atas lipatan. Pola sudah mengandungi basi (0.5 inci). Jadi hanya gunting ikut pola sahaja, tidak perlu menambah basi.

Gunting bahagian belakang 2 keping, jangan lupa tanda luas bukaan leher ikut saiz.

Gunting bahagian facing hadapan sekeping atas lipatan, dan bahagian belakang dua keping untuk letakkan butang belakang. Kemudian cantum bahagian facing depan dan belakang di bahu.

 Cantum bahagian depan dan belakang di bahu. Untuk mendapatkan hasil yang kemas, iron kan la setiap bahagian basi tu.

Letak facing diatas bahagian badan. Jahit di leher dan lengan yang bertanda merah itu.

Untuk terbalikkan jahitan tadi, masukkan bahagian belakang badan ke dalam facing dan tarik sampai habis. Tarik kedua-dua bahagian belakang. Terbalikkan. Angkat bahagian facing di ketiak, cantumkan bahagian depan dan belakang.
Cantum bahagian belakang badan pula. Jahit hingga tanda butang tu.

Jahit tindih di bahagian leher dan lengan. Kemudian lipat dalam 1 inci untuk jahit kelim di bahagian bawah kain. Jahit butang belakang.

Taraaa.. Dan inilah hasilnyaa. Cantik kann

Selamat mencuba yaa. Untuk tahu lebih lanjut step-step dia boleh rujuk di Facebook The Ikhsans credit to them.

Ini aku ada jumpa ukuran asas dalam inci bagi kanak-kanak


Wednesday, 4 May 2016

Dari Hati Kecilku

23:18 0 Comments
Alangkah bertuahnya menjadi seorang pemuisi, dapat melahirkan kata-kata sebagai ungkapan perasaan mereka. Buat aku turut sama mahu berpuisi, namun aku bukan pemuisi. Jauh sekali mampu menjadi seperti mereka. Tetapi aku cintakan puisi, kata-kata indah yang dapat melembutkan banyak hati. Hanya yang berjiwa seperti aku sahaja yang memahami. 


Menulis adalah sesuatu yang terindah bagi aku, berkata-kata dalam hati walaupun kesepian di sisi. Salah satu cara meluahkan bicara dan meluahkan rasa yang terbuku. Meskipun aku tahu tiada siapa yang mendengar, tiapa siapa yang membaca. Biarlah jari-jari ini menulis segala isi hati, tetapi jari-jariku beku.. sebeku-bekunya..


Sungguh lama… jari-jariku mengetuk perlahan papan kekunci, tidak tahu apa yang ingin aku coretkan, hati aku terasa bisu. pandanganku kosong, tak mampu untuk terjemahkan segala isi hatiku. Cerita-cerita hati yang tidak mampu dilisankan, tidak mahu sesiapa mengetahui.


Puisi bukanlah pendapat yang dinyatakan. Ia adalah lagu yang muncul daripada luka yang berdarah atau mulut yang tersenyum. 

Tuesday, 3 May 2016

Id, Ego, Superego

15:06 0 Comments
Assalamualaikum. Sebenarnya entry ni dah lama terperap dalam draft, cuma aku taktau nak sambung macam mana. Jadi baru harini tergerak hati nak sambung tentang personaliti manusia. Apa itu id, ego, dan superego?


Personaliti manusia dari aspek psikologi bermaksud corak tingkah laku, pemikiran dan emosi seseorang individu itu dan cara bagaimana interaksi berlaku sesama individu lain. Mengikut Sigmund Freud dalam teori psikoanalitik, minda manusia ini boleh dibahagikan kepada tiga komponen yang signifikan iaitu id, ego dan superego yang bekerjasama dalam membentuk personaliti seseorang individu itu. 
Id: Nafsu
Merupakan bahagian personaliti tak sedar yang berfungsi sebagai stor penyimpanan untuk keinginan manusia, dan didorong oleh tenaga libido untuk memotivasikan tingkah lakunya.  Id juga dikatakan komponen biologi yang mementingkan keseronokan dan wujud sejak lahir. Selain itu, id dianggap sebagai satu elemen struktur semulajadi, satu elemen yang diwarisi dan sedia ada di dalam diri manusia. Id merupakan satu gejala bawah sedar dan ia merupakan satu tenaga yang primitif. Id tidak teratur, tidak rasional dan penuh dengan orientasi berkehendakkan kepuasan.
Ego: Akal
Mula wujud sejak bayi berusia 6 bulan, merupakna bahagian personaliti yang mengandungi pemikiran realistik dan logik yang tersusun, serta berfungsi mengawal id supaya keinginannya tidak melanggar nilai dan norma masyarakat. Ego dikatakan komponen psikologikal yang mengutamakan realiti dalam kehidupan. Ego berkembang secara berperingkat. Sebagai elemen pada tahap sedar, ego penuh dengan persepsi, inginkan kemajuan dan boleh menyesuaikan fungsinya mengikut keadaan.
Superego: Hati
Merupakan struktur ketiga di dalam pemikiran tingkah laku psikoanalisis. Superego lebih menyerupai hati nurani atau conscience seseorang individu. Superego juga dikatakan bahagian personaliti yang bermoral dan berkembang secara beransur-ansur oleh pengaruh persekitaran seperti didikan moral dan agama. Ia merupakan cabang moral dan mewakili perkara yang individu percaya tidak patut dilakukan. Mengikut Freud juga, superego berfungsi sebagai penghantar maklumat nilai moral kepada ego untuk bertindak mengawal id.



Sebenarnya, id dan ego ni sentiasa bergolak dan berkonflik dalam diri kita. Sebagai contoh, kita nak ponteng kelas harini, tapi dalam masa yang sama ego cakap kena pergi jugak takut lecturer marah, dan superego inilah yang akan berperanan dalam membuat keputusan yang tepat. Kiranya macam ikut kata hati laa. Id ni jahat, manakala superego ni baik.

Tidak dinafikan aku sendiri pun kadangkala pening dan tak bijak dalam membuat keputusan ni. Huhu. Ikut nafsu mungkin. Memang susah jugak nak kawal. Kadang-kadang kena juga dengar nasihat daripada orang lain. Aku ni pulak jenis yang agak mudah terpengaruh dan kalah dengan pujuk rayu nii. Hahaha. Memang susah lahaii. 

Jadi sebagai manusia, gunakanlah akal, hati yang dikurniakan oleh-Nya dengan sebaiknya. Jangan mudah mengikut nafsu semata-mata. Kadangkala boleh memakan diri sendiri. Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Daripada perspektif Islam sendiri juga telah menerangkan tentang hal ini dengan lebih lanjut, iaitu interaksi keperibadian dari segi al-nafs, al-aql, dan al-qalb. Oleh itu, kunci pembentukan peribadi/personaliti yang baik adalah kita mampu menyeimbangkan ketiga-tiga itu.